(Malay version)

RACUN MAKHLUK PEROSAK

Pengenalan

Racun makhluk perosak adalah sebarang bahan kimia yang digunakan untuk membunuh atau mengawal populasi-populasi kulat, haiwan atau tumbuh-tumbuhan yang tidak dikehendaki, lazimnya dikenali sebagai makhluk perosak.

Menurut J. Jeyaratnam (1987), racun makhluk perosak adalah sebarang bahan atau campuran bahan yang boleh membunuh, memusnahkan atau mengawal suatu makhluk perosak; atau yang boleh digunakan pada haiwan-haiwan untuk kawalan makhluk perosak dalam dan pada badan mereka.  Makhluk perosak termasuk vektor-vektor penyakit manusia dan haiwan, patogen-patogen tumbuhan dan spesies tumbuhan dan haiwan yang tidak dikehendaki yang mana boleh mendatangkan mudarat terhadap penghasilan, pemprosesan, penyimpanan, pengangkutan atau pemasaran makanan, komoditi-komoditi pertanian, hasil-hasil kayu dan makanan haiwan.

Dalam Peraturan-Peraturan Makanan (1985), istilah "racun perosak" termasuklah:-
a) apa-apa sediaan yang digunakan, atau yang boleh atau berupa sebagai boleh digunakan, bagi mencegah serangga dari, atau bagi membinasakan:-

(i) kulat atau lain-lain pokok parasit atau bakteria yang mengganggu atau menyerang tumbuhan, buah-buahan, biji-bijian, binatang atau harta benda;
(ii) serangga atau lain-lain perosak yang mengganggu atau menyerang tumbuhan, buah-buahan, binatang atau harta;
(iii) binatang atau burung merbahaya; atau
(iv) rumpai atau lain-lain tumbuhan berbahaya; dan

b)     apa-apa bahan yang berupa racun perosak.
 

Status penggunaan racun makhluk perosak

Dalam tahun 1991, kira-kira 400 buah syarikat telah mendaftar 1536 jenis racun makhluk perosak yang mengandungi 275 jenis kandungan bahan aktif (Malaysian-German Pesticide Report, 199_).

Dalam jangka masa Januari 1992 - Disember 1994, terdapat kira-kira 1846 jenis racun makhluk perosak berdaftar di bawah Akta Racun Makhluk perosak 1974 (Lembaga Racun Makhluk Perosak, 1994).  Jumlah ini merangkumi racun makhluk perosak yang baru didaftar dan yang didaftar semula.

Di Malaysia, racun makhluk perosak digunakan untuk tanaman getah, kelapa sawit, koko, padi dan sayur-sayuran.  Lebih kurang 75% daripada jumlah racun makhluk perosak adalah herbisid yang digunakan untuk mengawal pertumbuhan rumput (Malaysian-German Pesticide Report, 199_).

Insektisid pula digunakan secara rutin ke atas sayur-sayuran, tembakau dan padi manakala secara kehadiran makhluk perosak pada lada hitam, koko dan kelapa sawit.  Fungisid pula banyak diaplikasikan ke atas sayur-sayuran tanah tinggi, buah-buahan, lada hitam dan tembakau.  Rodentisid pula digunakan di ladang kelapa sawit dan sawah padi.

Di Sabah, lebih daripada 100 jenis racun makhluk perosak dijual dalam pasaran.  Penggunaannya dianggarkan kira-kira 6000 ton/ tahun.  Racun herbisid yang utama dijual di Sabah ialah Paraquat, 2,4-D glyphosate dan MPCA manakala racun serangga yang paling popular adalah Methamidophos (Murtedza dan Kiong, 1987).

Racun makhluk perosak di Kundasang

Menurut Jackson (komunikasi peribadi; 1999), satu tinjauan yang dilakukan oleh Unit Pengembangan Pertanian, Tuaran menunjukkan bahawa methamidophos daripada kumpulan organofosfat yang telah diharamkan penggunaannya sejak Januari 1998 masih digunakan secara meluas di Kundasang.

Racun makhluk perosak yang biasanya digunakan di kalangan petani sayur-sayuran di Kundasang adalah tersenarai dalam Jadual 1.  Racun makhluk perosak itu dikelaskan kepada kumpulan, iaitu organoklorin, organofosfat, methyl carbamates, synthetic pyrethoid dan bacterium.
 

Jenis racun makhluk perosak mengikut bahan aktif

Racun kulat (EBDC)
1) Man Copper
2) Man Cozeb
3) Maneb
4) Metiram
5) Nabam
6) Propineb
7) Zineb

Racun serangga
a) Kumpulan organofosfat (OP)
   1) Aceptate
2) Azinphos-etyl
3) Chlopyriphos
4) Diazinon
5) Dichlorvos
6) Dimethoate
7) Fenthion
8) Malathion
9) Methamidophos
10) Mehidathion
11) Monocrotophos
12) Parathion-ethyl
13) Pruthiofos
14) Quinalphos
15) Profenofos
16) Phenthoate
17) Triazophos
18) Trichlorfon
19) Azinphos-methyl

b) Kumpulan organoklorin (OC)
  1) Aldrin
2) Chlordane
3) Dieldrin
4) Endosulfan-alpha
5) Endosulfan-beta
6) Gamma-BHC
7) Alpha-BHC
8) Heptachlor
9) Heptachlor-epoxide
10) O,P-DDT (2,4-DDT)
11) P,P-DDE (4,4-DDE)
12) P,P-DDT (4,4-DDE)
13) Beta-BHC
14) Delta-BHC
15) Endrin

 c) Kumpulan Synthetic Pyrethoid (SP)
1) Permethrin
2) Cypermethrin
3) Fenvelerate
4) Deltamethrin
5) Lambda-cyhalothrin
6) Cyfluthrin
7) Alphamethrin
 
d) Kumpulan Methyl Carbamates
1) Carbofuran
2) 3-hydroxycarbafuran
3) 3-keto carbofuran
4) Aldicarb sulfoxide
5) Oxamyl
6) Methomyl
7) Aldicarb
8) Propoxur
9) 1-napthol
10) Carbaryl
11) Methiocarb
12) BDMC
 
e) Kumpulan bacterium
1) Bacillus thuringiensis
 

Pengetahuan, Sikap dan Amalan di kalangan petani

Dalam Negara-negara Dunia Ketiga, kebanyakan kes keracunan manusia dan pencemaran alam sekitar berpunca daripada aktiviti penggunaan racun makhluk perosak yang tidak betul (Mwanthi & Kimani, 1993). Petani-petani memberikan sedikit perhatian kepada  penggunaan racun makhluk perosak yang betul, terutamanya berkaitan dengan keselamatan (Zain, 1977; Zam, 1980, Basri, 1981; Heong, 1982; Normiya, 1982; Ooi et al., 1983; Heong et al., 1987; Anon, 1990).

Satu tinjauan yang dilakukan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM, 1984) dalam 30 buah ladang di Selangor menunjukkan bahawa para pekerja tidak mengambil berat langkah-langkah keselamatan semasa pengendalian racun makhluk perosak.  Mereka tidak memakai pakaian perlindungan; tidak membasuh tangan dan muka atau mandi selepas penyemburan; tiada kemudahan untuk membancuh racun makhluk perosak; tidak diberi penerangan atau maklumat tentang bahaya racun makhluk perosak; menggunakan bekas-bekas racun makhluk perosak yang kosong untuk kegunaan harian; dan menyimpan racun makhluk perosak berdekatan dengan makanan.

Petani-petani tidak dimaklumkan tentang bahaya-bahaya racun makhluk perosak dan tidak mengetahui ketoksikan bahan kimia racun makhluk perosak. Kebanyakan petani tidak diberi penerangan tentang bahaya-bahaya racun makhluk perosak terhadap kesihatan dan kesan-kesan jangka masa pendek dan panjang.

Kebanyakan pemborong atau penjual tidak pedulikan masalah yang melanda para petani.  Mereka juga tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang penggunaan racun makhluk perosak yang betul.  Kebanyakan petani menerima nasihat atau cadangan daripada pegawai-pegawai pertanian atau wakil jualan dari syarikat-syarikat racun makhluk perosak (SAM, 1984).
 
Semasa pembelian racun makhluk perosak, petani-petani lebih cenderung memilih racun makhluk perosak yang murah harganya dan bertindak pantas untuk melawan serangan makhluk perosak. Racun makhluk perosak dibeli untuk tujuan ketoksikan dan keberkesanannya (SAM, 1984).

Namun demikian, para pekerja tidak mempunyai kuasa untuk memilih racun makhluk perosak yang digunakan.  Pihak pengurusan menentukan apa jenis racun makhluk perosak yang sesuai digunakan dan kekerapan penyemburan dilakukan.  Pekerja tidak boleh bersuara, tidak diajar cara mengendali dan menggunakan bahan kimia toksik tersebut serta bahaya-bahaya yang dihadapi oleh mereka (CAP, 1985).  Dalam satu tinjauan yang dilakukan oleh SAM (1984) menunjukkan bahawa tiada satu pun pihak pengurusan yang mengambil langkah peringatan untuk memastikan keselamatan pekerja mereka.  Topeng muka dan sarung tangan tidak dibekalkan.

Dalam satu tinjauan lain di Pulau Pinang pula pada tahun 1980, SAM meendapati bahawa majoriti petani menggunakan racun makhluk perosak sebagai langkah asas pertahanan serangan makhluk perosak manakala ramai yang lain menggunakan racun makhluk perosak untuk melawan serangan makhluk perosak (CAP, 1985).  Sekiranya racun makhluk perosak digunakan sebagai langkah asas pertahanan serangan makhluk perosak, penyemburan racun makhluk perosak akan dilakukan mengikut kalendar penyemburan yang disyorkan oleh syarikat racun makhluk perosak atau jabatan pertanian.

Petani-petani secara puratanya menyembur racun makhluk perosak setiap 4 atau 5 hari untuk pertahanan asas serangan makhluk perosak.  Tinjauan oleh CAP (1985) mendapati bahawa kebanyakan petani menggunakan racun makhluk perosak dalam jangka masa 9 hari sebelum penuaian hasil.  Hasil penemuan seterusnya menunjukkan bahawa petani-petani tidak meneliti jangka masa "pengeraman" sebelum penuaian dan terus menyembur racun dua tiga hari sebelum penuaian hasil.
 
Setiap jenis bahan aktif yang terkandung dalam formulasi racun makhluk perosak mempunyai tempoh separuh hayat yang tertentu dan berbeza-beza.  Syor kalendar penuaian hasil pada label menunjukkan tempoh “pengeraman” yang selamat setelah penyemburan racun makhluk perosak untuk menuai hasil tanaman. Masalah sisabaki racun makhluk perosak yang melebihi MRL yang ditetapkan pada sayur-sayuran berlaku bila syor kadar penggunaan, kekerapan penyemburan dan tempoh sebelum penuaian tidak diikuti.  Namun, Mbiapo & Youvop (1993) menyatakan bahawa jangka masa penyemburan racun makhluk perosak tidak selalunya mengikuti cadangan label kerana perubahan musim dalam corak hujan.

Sesetengah petani menggunakan racun makhluk perosak yang tidak dilabelkan dan tanpa arahan penggunaan.  Lantaran itu, mereka tidak mengetahui amaran-amaran keselamatan dan arahan sukatan racun makhluk perosak.

Petani-petani juga jarang membaca label pada bekas racun makhluk perosak.  Sesetengah petani membaca label racun makhluk perosak, sekurang-kurangnya sebelum menggunakan racun tersebut pada kali pertama (Malaysian-German Pesticide Report, 199_).

Bila menyembur racun makhluk perosak, kebanyakan petani menggunakan kepekatan yang lebih tinggi daripada yang disyorkan kerana mereka percaya bahawa "sekiranya sedikit adalah baik, lebih banyak mesti lebih berkesan" (Boonlue, 1993).   Pengguna cenderung membeli sayur-sayuran yang “indah” rupanya dalam pasaran memaksa petani sayur-sayuran melindungi tanaman daripada serangan makhluk perosak dengan menggunakan dos yang berlebihan (Malaysian-German Pesticide Report, 199_).

Pekerja-pekerja kadang-kala menggunakan tangan untuk membancuh dan mencampur racun makhluk perosak (SAM, 1984).  Tindakan ini meningkatkan risiko peresapan racun makhluk perosak yang toksik ke dalam kulit.
 
Petani-petani selalunya menyembur racun makhluk perosak dengan peralatan penyemburan jenis pikul-belakang; berpakaian baju-T, seluar pendek dan selipar.  Satu-satunya perlindungan terhadap penyedutan gas-gas beracun adalah saputangan atau tuala untuk menutup mulut dan hidung (CAP, 1985).

Semasa penyemburan, mereka lazimnya memakai pakaian biasa.  Pakaian yang telah dicemari dengan racun makhluk perosak dibasuh bersama dengan pakaian-pakaian lain (SAM, 1984).  Castaneda et al., 1989 menyatakan bahawa pakaian kerja biasanya terdiri daripada seluar panjang dan kemeja kapas berlengan panjang.  Sarung tangan, topeng muka atau kasut but jarang dipakai semasa penyemburan racun makhluk perosak.

Para petani sering memberikan alasan yang menghalang mereka memakai pakaian dan peralatan perlindungan, iaitu cuaca yang panas dan lembap serta kos yang perlu ditanggung. Haba dan kelembapan di negara-negara tropika sering menyusahkan petani-petani untuk memakai pakaian perlindungan yang disyorkan bila mengendalikan dan menyembur racun makhluk perosak. Keadaan sedemikian memaksa para petani menanggalkannya untuk bekerja dengan lebih selesa atau tidak memakai langsung.  Di sebalik keselesaan tanpa pakaian perlindungan, petani meningkatkan risiko pendedahan terhadap racun makhluk perosak (Chester et al., 1993).

Pakaian perlindungan yang diperbuat daripada plastik, bahan getah atau bahan tidak telap menyebabkan ketidakselesaan bila dipakai untuk lebih daripada 3 jam di lapangan dalam keadaan tropika panas lembap (Lee, 1987; Jusoh & Anas, 1988; Phoon,1988).  Memandangkan suhu udara adalah melebihi 30oC, sesetengah petani mengesat peluh daripada muka mereka dengan tangan dan lengan baju, ini menggalakkan pendedahan kulit (He et al., 1993).  Sansur et al. (1993) menyatakan behawa pendedahan kulit biasanya meliputi 90% daripada jumlah pendedahan terhadap racun makhluk perosak oleh petani-petani.

Pencemaran, terutamanya pada bahagian tangan lazimnya berlaku semasa penyemburan, pembancuhan dan percampuran larutan pekat racun makhluk perosak (Rosival, 1980; Jeyaratnam, 1982; Lee & Yang, 1991).  Bonsall (1985) melaporkan bahawa kepekatan larutan pekat adalah 50 hingga 90 kali berbanding larutan yang dicairkan untuk semburan. Jadi, para petani mempunyai risiko pendedahan yang tinggi terutamanya jika mereka tidak memakai pakaian dan peralatan perlindungan.

Menurut Lee dan Yang (1991), amalan memakai sarung tangan tidak biasa dilakukan oleh petani semasa membancuh larutan pekat racun herbisid, insektisid atau fungisid.  Dalam satu kajian lain pula, Bong dan Songan (1987) mendapati petani-petani menggunakan tangan tanpa sebarang perlindungan untuk membancuh dan mengaul racun makhluk perosak di Sarawak.  Dr. John Bonsall, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Keselamatan Persatuan Agrokimia British menyatakan bahawa 90% pencemaran pada pekerja penyemburan berlaku di tangan bila membuka bekas dan memindahkan larutan pekat (Farmers’ Weekly, 1990).
 

Selain  daripada pakaian perlindungan, para petani lazimnya tidak mempunyai peralatan semburan yang sesuai.  Penggunaan peralatan yang cacat atau rosak juga merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kejadian keracunan racun makhluk yang serius di kalangan pekerja-pekerja pertanian (Jeyaratnam, 1982).  Peralatan jarang dalam keadaan yang baik kerana alat gantian untuk peralatan import sukar diperolehi (Jusoh et al., 1987).

Racun makhluk perosak berbentuk cecair pula selalu diisikan ke dalam botol-botol minuman.  Sesetengah racun makhluk perosak kelihatan seakan-akan minuman biasa.  Contohnya, Paraquat mempunyai warna seperti kopi hitam (SAM, 1984).

Salah satu bahaya yang sering diperhatikan adalah penggunaan bekas-bekas racun makhluk perosak untuk menyimpan makanan dan minuman.  Pekerja-pekerja sering "mengitar semula" bekas-bekas untuk kegunaan peribadi seperti menyimpan air.  Bekas racun makhluk perosak yang kosong diberikan kepada kanak-kanak untuk dijadikan alat mainan.  Drum 25-liter munkin merupakan bekas yang sesuai utnuk minuman dalam kenduri atau hari perayaan (SAM, 1984).

Pembuangan bekas racun makhluk perosak yang kosong juga merupakan satu amalan penting dalam pengendalian racun makhluk perosak yang betul.  Menurut Mbiapo & Youvop (1993), kebanyakan pengguna racun makhluk membuang bekas-bekas racun makhluk kosong ke dalam sistem air, di dalam kebun atau dalam dalam semak .

Dalam negara-negara membangun, racun makhluk perosak selalunya disimpan di dalam rumah, dalam bilik-bilik yang juga digunakan untuk tidur dan menyimpan makanan dan air minuman.  Walaupun racun makhluk perosak disimpan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak dalam rumah, amalan ini membolehkan penyebaran racun makhluk perosak sebagai debu bawaan udara atau gas, terutamanya bila racun makhluk perosak berada dalam keadaan bungkusan yang longgar (Mwanthi & Kimani, 1993).

Pondok simpanan racun makhluk perosak selalunya tidak baik pengudaraannya (suhu tinggi menggalakkan penguraian racun makhluk perosak); bekas-bekas tidak ditutup dengan baik (kelembapan menggalakkan penguraian bahan-bahan aktif); cara penglabelan dan penyimpanan tidak betul (menyebabkan pencampuran racun makhluk perosak); tarikh luput selalunya tidak direkodkan; racun makhluk perosak yang tidak boleh digunakan berlonggokan dan seterusnya bekas-bekasnya terkakis dan bocor (Boonlue, 1993).
 
Pendek kata, terdapat beberapa faktor khusus yang menyumbang kepada keracunan racun makhluk perosak yang serius (Jeyaratnam, 1985) adalah:
a) Kekurangan pakaian perlindungan yang sesuai untuk iklim tropika;
b) Kekurangan pengetahuan dan pemahaman tentang penggunaan racun makhluk perosak yang selamat;
c) Kegunaan racun makhluk perosak oleh petani-petani dalam konsentrasi yang melebihi keperluan;
d) Penyelenggaraan peralatan penyemburan yang tidak sempurna; dan
e) Penggunaan campuran racun makhluk perosak.

Maximum Residue Limit

Maximum residue limit (MRL) yang diluluskan definisinya oleh FAO / WHO Joint Meeting on Pesticide Residues and the Codex Committee on Pesticide Residues adalah kepekatan residu racun makhluk perosak yang maksimum, disebabkan daripada penggunaan racun makhluk perosak berdasarkan amalan pertanian yang baik (Good Agricultural Practice) secara langsung untuk pengeluaran dan / atau perlindungan komoditi yang dikenalpasti (Pesticide Residues in Food, WHO Technical Report Series 592, 41, 1976).

Good Agricultural Practices dalam penggunaan racun makhluk perosak yang diluluskan di bawah keadaan praktikal pada sebarang tahap pengeluaran, penyimpanan, pengangkutan, pengedaran dan pemprosesan makanan dan lain-lain komoditi pertanian.  Racun makhluk perosak yang disembur dan meninggalkan residu adalah jumlah yang terkecil dan kadar toksikologinya boleh diterima (Pesticide Residues in Food, WHO Technical Report Series 592, 41, 1976).

MRL dinyatakan sebagai miligram residu / kilogram komoditi.  Ia adalah ukuran keselamatan tetapi tidak mengambil kira keselamatan pengguna.  Had keselamatan dinyatakan dalam istilah Acceptance Daily Intake (ADI) residu bagi racun makhluk perosak tertentu dari semua sumber.

ADI adalah amaun bahan kimia yang boleh diambil setiap hari utnuk sepanjang hayat individu dalam keadaan yang praktikal, dengan asal semua fakta yang diketahui bahawa tiada bahaya yang berlaku (The COPR Handbook, 1987).

Permethrin, bila digunakan pada kadar yang dicadangkan 0.02% bahan aktif (active ingredient, a.i.) pada cili memberikan tahap residu 9.9 mg/kg.  Tetapi rawatan dua kali ganda dos yang disyorkan 0.04% bahan aktif memberikan tahap residu 20.7 mg/kg (Cheah, 1997).

Kesihatan

Dalam jangka masa 10 tahun (1979 – 1988), racun makhluk perosak melibatkan 40.3% daripada 5152 buah kes keracunan di Malaysia.  Kira-kira 73% kes keracunan akibat paraquat adalah bunuh diri, 14% akibat kemalangan dan 1% akibat pendedahan semasa kerja (occupational exposure) (Pusat Racun Negara, 1995).

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Encik Wong Kien Keong, Dekan Jabatan Alam Sekitar, Universiti Pertanian Malaysia, tahap elemen-elemen racun makhluk perosak yang dijumpai di dalam serum darah populasi Malaysia adalah lebih tinggi daripada populasi Amerika Syarikat (Utusan Konsumer, 1981).

Racun makhluk perosak mungkin memasuki badan melalui mulut (oral), kulit (dermal) atau paru-paru (inhalation).  Penyerapan melalui mulut mungkin minimum semasa penggunaan racun makhluk perosak melainkan pengguna termakan, terminum atau merokok sebelum membasuh tangan dan muka.  Keracunan melalui mulut berlaku bila racun makhluk perosak diisikan ke dalam bekas-bekas makanan seperti botol-botol minuman; makan sayur-sayuran dan buah-buahan yang baru disembur dengan racun makhluk perosak; atau seseorang sengaja membunuh diri (Matthews, 1979).  Racun makhluk perosak yang mudah meruap (contohnya Chlordane) boleh menyebabkan keracunan melalui pernafasan (SAM, 1984).

Simptom-simptom biasa keracunan racun makhluk perosak adalah sakit kepala, keletihan, lemah badan, pening, cemas, berpeluh, mual dan muntah, diarrhonea dan hilang selera makan.  Lain-lain simptom yang lebih serius adalah air liur dan peluh yang berlebihan, kekejangan perut, menggeletar dan keregangan saraf.  Pesakit juga mungkin mengalami penglihatan yang kabur, denyutan nadi yang cepat dan kesukaran untuk bernafas.  Keracunan yang serius menyebabkan sawan, mata dengan pupil mengecil, tidak dapat bernafas dan tidak sedarkan diri (Matthews, 1979).

Pekerja penyemburan mengalami sakit kepala, pening, rangsangan pada kulit, ruam kulit, muntah, kerosakan pada kuku, hidung berdarah dan sakit mata (Mohd Zain, 1977; Anon, 1987; Bong dan Songan, 1987; Hart, 1987; Ramasamy dan Nursiah, 1988).  Dalam satu kajian yang dilakukan ke atas 150 petani sayur-sayuran di Bang Bua Thong, dekat Bangkok oleh satu kumpulan multidisiplin dari Universiti Chulalongkorn, aduan yang biasa diperolehi adalah lemah badan (61%), pening (47%), sakit kepala (39%), sesak nafas (35%), kurang ingatan (34%) dan rasa mual atau muntah (33%) (Suwanabun et al., 1986).
 
Banyak masalah-masalah respirasi telah dikaitkan dengan pendedahan terhadap racun makhluk perosak (Lehnigk et al., 1985; Mechkow et al., 1987). Hayes, (1982) telah mengaitkan kes-kes asma dengan pendedahan terhadap racun makhluk perosak organofosfat.  Bronkitis kronik, salah satu penyakit chronic destructive pulmonary disease (COPD) adalah lebih lazim terdapat pada pengguna paraquat.  Penyakit ini juga lebih lazim di kalangan pengguna paraquat yang merokok (Arroyave, 1987).

Racun makhluk perosak boleh memasuki peparu dengan menghidu titisan-titisan atau partikel-partikel, lazimnya kurang daripada 10 ?m diameter, atau wap, tetapi jumlah yang selalunya kurang daripada 1% berbanding yang diresap melalui kulit.  Risiko yang paling besar berlaku bila membancuh formulasi pekat dan mengendalikan debu dan asap, terutama dalam keadaan pengudaraan yang kurang baik.  Peluang untuk menghidu  titisan-titisan  kecil atau partikel berkurangan dalam keadaan lapangan kerana angin biasanya meniupkannya ke tempat lain (. Matthews, 1979).
 
Pencemaran badan pula berlaku dengan peresapan melalui kulit, terutamanya di tempat yang luka.  Lengan tangan meresap lebih banyak daripada tapak tangan.  Bahagian mata, belakang leher, kaki dan ketiak adalah kawasan yang memerlukan perlindungan untuk mengelakkan pencemaran.  Risiko peresapan melalui kulit meningkat dalam cuaca panas, bila perpeluhan berlaku dengan usaha yang minimum dalam penggunaan pakaian perlindungan (Matthews, 1979).

Dermatitis dan alergi telah dikesani dengan banyak di kalangan pekerja racun makhluk perosak setelah pendedahan terhadap pelbagai racun makhluk perosak (Adams, 1983; Lang dan Clutterback, 1991).   Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Lang dan Clutterback (1991), mereka menjumpai sejenis penyakit kulit yang serius, iaitu Chloracne di kalangan pekerja yang mengendalikan racun makhluk perosak organoklorin.  ‘Lesions’ dalam mata (konjuntivitis, ulcer kornea, katarak) juga boleh berlaku di kalangan pekerja semburan(Tinsley, 1978).

 Bukan sahaja pekerja semburan yang terdedah kepada risiko pencemaran melalui kulit, orang awam yang berdekatan dengan sumber pemcemaran juga mungkin terlibat.  Contohnya, seramai 25 orang pelajar di sebuah sekolah agama berdekatan Ipoh, Perak dikejarkan ke hospital setelah mereka jatuh sakit selepas mandi di dalam sebuah terusan pengairan pada Mac 1996.  Pelajar-pelajar selalu mandi dalam terusan yang digunakan oleh petani-petani padi dan dipercayai residu racun makhluk perosak.  Pelajar tersebut dilaporkan mengalami demam panas, sakit perut dan muntah (Pusat Racun Negara, 1996).

Terdapat tidak kurang daripada 14 jenis racun makhluk perosak; termasuk organoklorin, organofosfat, karbamat dan kelas organotin, serta herbisid klorofenosik 2, 4-D dan hasil penguraiannya boleh menjejaskan fungsi-fungsi normal sistem keimuman (Exon dan Talcott, 1987;  Thomas dan House, 1989).

Ujian ke atas haiwan menunjukkan bahawa kira-kira 50 jenis racun makhluk perosak termasuk Benomyl, Captofol, Captan, Carbofuran, Lindane, Maneb, Thiram dan Ziram, yang boleh menyebabkan kanser (Lang dan Clutterbuck, 1991).

Profesor Nabuo Matsuoka dari Customers Union of Japan (CUJ) menyatakan saintis-saintis Jepun percaya bahawa peningkatan kematian akibat kanser mungkin diakibatkan oleh pengambilan bahan-bahan kimia yang berbeza dengan kandungan karsinogenik yang banyak disumbangkan oleh racun makhluk perosak dalam makanan (CAP, 1983).

Kajian terhadap kesan-kesan Agent Orange (campuran 2, 4–D dan 2, 4, 5-T) dan ke atas populasi orang Vietnam yang terdedah kepada herbisid telah menghasilkan bukti-bukti yang merangsangkan tentang pertumbuhan ganas pada sel-sel kanser hati dan lain-lain bukti tentang ketoksikan kronik (New Scientist Vol. 97: No. 1346, 1983).  Bahan kimia Dioxin yang sering terdapat dalam beberapa jenis herbisid seperti 2, 4, 5 - T dan 2, 4 - D boleh menyebabkan luka pada kulit dan ketidaknormalan hati, gangguan sistem saraf, sistem keimunan dan sistem pernafasan, kemandulan dan kanser (SAM, 1984).

Pada Mac 1996, ahli saintis mendapati bahawa penduduk di Tecumseh, Michigan yang terdedah terhadap beberapa insektisid dan herbisid tertentu cenderung mengalami kanser nodus limfa yang dikenali sebagai lymphoma.  Tumor-tumor adalah sangat agresif dan seseorang boleh mati dalam masa beberapa bulan jika tidak dirawat (Pusat Racun Negara, 1996).

Kanser melalui pekerjaan (occupational cancer) (Phoon, 1988) melibatkan:-
1) Sistem respirasi
(a) Upper respiratory tract (URT)
- ethmoid sinuses
- rongga hidung
- larinks
(b) Lower respiratory tract
- paru-paru
- pleura
2) Sistem pencernaan
(a) perut
(b) hati
(c) esofagus dan saluran usus
 

Rujukan


Personal Detail            Rumusan Kuliah        Sarawak        Chinese Cooking        Pesticides

Copyright @ Theresa Yip LK

      Please e-mail to me: [email protected]